KUANTAN, 29 April 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan tahniah kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di atas penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Ekonomi Islam dan Perbankan daripada Universiti Yarmouk, Jordan.
Paduka Baginda berdua bertitah, anugerah yang disampaikan sendiri oleh Presiden Universiti Yarmouk, Profesor Dr Islam Massad itu merupakan satu lambang kerjasama dan pengiktirafan terhadap usaha dan kepimpinan Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy yang membawa nama Kerajaan Negeri Pahang.
Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar hubungan baik yang terjalin khususnya dalam bidang akademik antara Pahang dan Universiti Yarmouk dapat diperluas lagi ke bidang penyelidikan bersama, inovasi ekonomi Islam, teknologi hijau serta pembangunan lestari.
Semoga ia dapat memenuhi aspirasi untuk menjadikan Pahang sebagai model negeri maju berteraskan Maqasid Syariah dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Semoga juga penganugerahan yang diterima mampu memacu negeri Pahang ke arah kegemilangan yang berterusan dan membentuk jajaran akademik yang dapat membawa kepada percambahan ilmiah demi kebaikan semua pihak. -KESULTANAN PAHANG