KUANTAN, 18 April 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dua mangsa lemas dalam tragedi berasingan yang berlaku di Kuantan dan Maran.
Dalam kejadian pertama petang semalam, Luqman Kamil Jamaluddin yang juga pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abu Bakar, Kuantan dilaporkan lemas ketika aktiviti mencari kepah di Pantai Balok.
Kejadian lemas kedua berlaku di Taman Ecorimba Lubuk Yu Maran melibatkan seorang penuntut di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Jengka, Muhammad Fauzan Aziman Mohd Saad, 18, yang ditemui lemas ketika mandi di pusat rekreasi air itu.
Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh kedua-dua Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Paduka Baginda berdua juga berharap agar segala urusan keluarga Allahyarham dipermudahkan serta tabah di atas kehilangan insan yang tersayang.
Dalam pada itu, Paduka Baginda berdua menasihatkan agar seluruh rakyat mengambil iktibar daripada kejadian tersebut serta sentiasa berwaspada ketika melakukan aktiviti air, khususnya di kawasan berisiko seperti pantai, sungai dan pusat rekreasi air.
Paduka Baginda berdua turut mengingatkan orang ramai supaya lebih menitikberatkan aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti berisiko, termasuk memakai jaket keselamatan ketika berada di laut atau di kawasan perairan terbuka, serta mengelakkan aktiviti tanpa pengawasan atau di lokasi yang tidak selamat.
Selain itu, ibu bapa dan penjaga diseru agar sentiasa memantau pergerakan serta keselamatan anak-anak, terutamanya ketika berada berhampiran kawasan air, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku.
Paduka Baginda berdua menegaskan bahawa sikap berhati-hati, peka terhadap keadaan sekeliling serta pematuhan kepada langkah-langkah keselamatan mampu membantu mengurangkan risiko kemalangan dan seterusnya melindungi nyawa. -KESULTANAN PAHANG








