KUANTAN, 13 Mei 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada keluarga sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang telah terkorban dalam kemalangan jalan raya yang tragis di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak pagi tadi.
Paduka Baginda berdua amat dukacita atas pemergian kesemua wira negara yang telah menabur bakti serta menunjukkan komitmen tinggi dalam menjalankan tugas sebagai anggota keselamatan.
Kehilangan besar ini bukan sahaja dirasai oleh keluarga dan rakan-rakan setugas, bahkan turut menyentuh hati seluruh rakyat, khususnya warga pasukan keselamatan yang sentiasa komited dalam melaksanakan tugas tanpa mengira waktu dan keadaan.
Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh kesemua mereka dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Semoga keluarga yang ditinggalkan dikurniakan ketabahan, kekuatan serta lindungan Ilahi dalam menghadapi ujian yang amat berat ini.
Al-Fatihah.- KESULTANAN PAHANG