KUANTAN, 7 April 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar kepimpinan negeri mengkaji dan memperkemaskan lagi urusan pentadbiran antaranya dengan mengurangkan karenah birokrasi.

Paduka Baginda bertitah, perkara berkenaan perlu diberi perhatian termasuk kepimpinan pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang di bawah Setiausaha Kerajaan Negeri yang baharu nanti.
“Saya berharap sesiapa yang memegang jawatan tertinggi di negeri Pahang ini akan berusaha sebaik mungkin untuk memajukan negeri Pahang secara teratur di mana kelemahan-kelemahan (yang ada) ini perlu diperkemaskan.

“Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri ini amat penting sekali di dalam sesebuah negeri dan dia harus mempunyai satu visi tersendiri dari segi pentadbiran supaya dapat menasihat kerajaan yang ditadbirkan atau government of the day untuk melunaskan dasar-dasar lama, dasar baru atau dasar yang lebih baharu, menasihati Sultan, Tengku Mahkota supaya dapat sama-sama perkemaskan lagi perjalanan pentadbiran negeri.
“Antara perkara yang saya perhatikan iaitu kerajaan pimpinan (Setiausaha Kerajaan Negeri) baharu dapat kaji selok belok kelemahan dalam karenah birokrasi dan juga soal urusan kewangan agar lebih terperinci dan teratur,” titah Paduka Baginda.

Paduka Baginda bertitah demikian ketika ditemui media selepas berkenan menerima mengadap Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Haji Wan Ismail serta barisan kepimpinan tertinggi Negeri Pahang di Istana Abdulaziz, hari ini.
Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pada pertemuan tersebut, Paduka Baginda berkenan meluangkan masa berbincang mengenai hal ehwal pentadbiran negeri Pahang serta menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob yang menamatkan perkhidmatan pada hari ini serta YB Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’Sri Saiful Edris Zainuddin yang akan bertukar ke Jabatan Peguam Negara, Putrajaya bermula 17 April, ini.
Dalam pada itu, Paduka Baginda turut sedia maklum mengenai usaha berterusan kerajaan negeri dalam menambahbaik urusan pentadbiran, namun Paduka Baginda menzahirkan nasihat agar sentiasa mengenalpasti dan memperbaiki kelemahan yang ada.
“Saya mahu urusan pentadbiran yang lebih efektif, teratur serta memudahkan rakyat antaranya berkenaan dengan tempoh kelulusan sesuatu projek.
“Dan ini penting, kerana kita tidak mahu adanya seolah-olah kerajaan yang besar tetapi berkesanannya tidak begitu berkesan. So, it’s a redundantlah. Redundant itu seolah rugi sajalah. Sepatutnya kalau besar, mesti lebih berkesan, lebih berefektif. so harap ni dapat dikajilah.
“Ini bukan bermakna kita nak mengurangkan tetapi nak memantapkan lagi urusan pentadbiran, kurangkan birokrasi, proses kelulusan, mempercepatkan proses kelulusan, tidak melambatkan khususnya bab tanah, soal kelulusan projek yang boleh mendatangkan kebaikan untuk negeri,” titah Paduka Baginda .-KESULTANAN PAHANG