KUANTAN, 7 Jun 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Tengku Ampuan Afzan, hari ini.

Keberangkatan Paduka Baginda berdua pada pukul 8.30 pagi diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut mengiringi ialah YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama isteri, YM Tengku Natasya Puteri binti Tengku Adnan; YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah serta YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Paduka Baginda berdua menunaikan solat bersama kira-kira 1,500 orang jemaah dengan diimamkan oleh Imam 1 Masjid Tengku Ampuan Afzan, Ustaz Mohd Hafidz Mohammad Suhaile diikuti khutbah khas disampaikan oleh Sahibus Samahah Mufti Pahang, Datuk Professor Dr. Asmadi Mohamed Naim.

Khutbah bertajuk Hari Raya Aidiladha mengingatkan sejarah Nabi Ibrahim A.S dan anaknya Nabi Ismail A.S sebagai pedoman dan petunjuk kepada umat Islam untuk mengorbankan harta dan jiwa demi keimanan kepada Allah SWT.

Paduka Baginda berdua kemudiannya berkenan menyaksikan ibadah korban melibatkan 13 ekor lembu di perkarangan masjid di mana Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang turut sama menyerahkan dua ekor lembu untuk ibadah tersebut. – KESULTANAN PAHANG
