KUANTAN, 29 Mac 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat bercemar duli berbuka puasa bersama rakyat di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK1) di sini semalam.

Keberangkatan Paduka Baginda berdua pada pukul 6.30 petang turut diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut mengiringi ialah YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan isteri YM Tengku Natasya Puteri Binti Tengku Adnan serta YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan isteri, YHM Che Puan Panglima Puteri Hajjah Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moizz.

Turut sama ialah YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah bersama suami, FD Idzham FD Iskandar.

Hadir sama, YAM Tengku Arif Temenggong Tengku Fahad Mua’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.

Paduka Baginda turut berkenan menyantuni peniaga dan orang ramai yang berada di Bazar Ramadan Mahkota Square yang terletak bersebelahan padang serta membeli juadah untuk berbuka puasa.

Sementara itu ketika ditemui media, Paduka Baginda mengulas mengenai acara berbuka puasa di padang saban tahun bersama rakyat yang digemari kerana ia menjadi ruang dan peluang untuk Paduka Baginda menyantuni rakyat.

“Kalau boleh saya nak datang sini kerap, tetapi tak kesampaian banyak melawat daerah-daerah lain dan Alhamdulillah hari ini dapat sampai…saya lihat begitu ramai pengujung termasuk dari luar Pahang,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG.
