KUANTAN, 31 Januari 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa banjir di Sabah dan Sarawak.
Memetik laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, setakat jam 5 petang tadi, seramai 5,162 orang masih berada di 34 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) membabitkan 1,789 ketua isi rumah (KIR).
Dalam perkembangan berkaitan, jumlah mangsa banjir di Sarawak ialah seramai 10,787 orang melibatkan 3,039 buah keluarga ditempatkan di 58 buah PPS.
Paduka Baginda berdua berdoa agar setiap urusan rakyat yang ditimpa bencana banjir dipermudahkan dan mereka dikurniakan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi musibah berkenaan.
Sesungguhnya, rakyat Borneo turut dekat dihati Paduka Baginda berdua malah rangkaian kenangan yang dicipta sepanjang Kembara Kenali Borneo yang dianjurkan Paduka Baginda berdua ketika bergelar Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong pada 3 hingga 13 September 2023, terus segar kekal dalam ingatan.
Perjalanan konvoi bersejarah itu merentasi Malaysia Timur, bermula di Sabah bergerak melalui Sarawak, dan juga termasuk lawatan ke Brunei sekaligus menjadi sebahagian daripada visi Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah untuk memperdalam hubungan antara institusi beraja Malaysia dan rakyat Malaysia Timur. -KESULTANAN PAHANG