KUANTAN, 30 Mei 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan Selamat Hari Gawai dan Pesta Kaamatan kepada masyarakat Sabah dan Sarawak yang meraikannya.
Pesta Kaamatan dan Hari Gawai adalah lambang kekayaan warisan budaya serta semangat kesyukuran atas rezeki hasil tuaian. Sambutannya memperlihatkan betapa tingginya nilai perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.
Ia juga merupakan usaha memelihara dan memartabatkan budaya serta adat resam nenek moyang yang menjadi khazanah warisan negara. Semangat gotong-royong, kesatuan dan saling menghormati yang terpancar dalam sambutan ini wajar dijadikan contoh kepada seluruh rakyat Malaysia dalam memperkukuh semangat kebangsaan dan keharmonian.
Semoga sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai pada tahun ini disambut dengan penuh kegembiraan, namun tetap memelihara nilai kesederhanaan dan keselamatan. Marilah kita bersama-sama berdoa agar negara terus dikurniakan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan yang berpanjangan.
Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan dan Gayu Guru Gerai Nyamai. -KESULTANAN PAHANG