KUANTAN, 29 Mei 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar semua masjid dan surau di Negeri Pahang melakukan solat hajat bagi mendoakan kesihatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien.
Paduka Baginda bertitah agar diadakan solat hajat pada hari ini bersamaan 1 Zulhijjah 1446 Hijrah khusus mendoakan kesihatan Sultan Brunei yang juga Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerana ketika ini berehat dan menerima rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Paduka Baginda turut mendoakan agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah dikurniakan kesembuhan dan kesihatan berpanjangan dari Allah SWT.
Terdahulu, pada Selasa, Sultan Hassanal Bolkiah dilaporkan dimasukkan ke IJN kerana mengalami kepenatan ketika menghadiri Mesyuarat ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan ASEAN- Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China. –KESULTANAN PAHANG