KUANTAN, 1 December 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar semua masjid dan surau di Negeri Pahang melakukan solat hajat berikutan bencana banjir yang melanda di beberapa buah negeri akibat fenomena Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini.
Paduka Baginda secara khususnya bertitah agar solat hajat dapat dilakukan di setiap masjid dan surau selepas solat Jumaat dan selepas solat Maghrib pada setiap hari.
Paduka Baginda bertitah, solat hajat ini diadakan bagi sama-sama mendoakan agar dihindarkan banjir, bala bencana dan supaya Allah SWT mengangkat semua musibah dan sesiapa yang diuji dengan banjir, diberikan keselamatan dan kesabaran.
Pada masa sama Paduka Baginda turut berdoa agar semua yang terlibat dengan banjir besar seperti di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah diberikan kemudahan, kekuatan dan kesabaran untuk mengharungi musibah yang melanda.
Doa sama turut dipanjatkan kepada Allah SWT agar negeri Pahang turut dilindungi dari sebarang bencana dan berada dalam keadaan selamat sejahtera.
Justeru, Paduka Baginda meminta agar orang ramai mengambil langkah berhati-hati pada musim banjir ini dan menjaga keselamatan diri serta ahli keluarga masing-masing selain menghindari kawasan berisiko seperti sungai dan laut bagi mengelak sebarang tragedi
Ibu bapa dan penjaga diingatkan agar sentiasa memantau dan menasihatkan anak-anak supaya tidak bermain di tepi sungai atau longkang berhampiran kerana berisiko berlakunya perkara yang tidak diingini.-KESULTANAN PAHANG