KUANTAN, 7 April 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah mengingatkan rakyat agar sentiasa menekankan aspek keselamatan terutamanya ketika berada di jalan raya.

Paduka Baginda bertitah, aspek keselamatan dan sikap berhati-hati mampu membantu pengguna berusaha mengelak daripada sebarang kejadian yang tidak diingini.

Harapan sama turut dizahirkan Paduka Baginda terhadap setiap penunggang motosikal agar sentiasa memakai topi keledar ketika berada di atas jalan raya selain memiliki lesen kenderaan yang sah.

Paduka Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyantuni keluarga mangsa kemalangan maut di Kampung Seri Chempaka.

Mangsa, Muhammad Hazeem Hazimi bin Mohd. Shamsuddin, 19, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HTAA akibat kecederaan parah di kepala selepas motosikal yang ditunggang terbabas akibat terlanggar lubang di Jalan Kuantan-Cherok Paloh, Jumaat lalu. -KESULTANAN PAHANG
