LIPIS, 20 Mac 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah mengingatkan rakyat agar sentiasa berpegang kepada adab dan budaya selagi mana ia tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Titah Paduka Baginda, begitu jua dengan bahasa dan tulisan yang merupakan cerminan warisan yang telah menjadi tunjang peradaban bangsa yang perlu dipelihara.
‘Bahasa Melayu bukan sekadar alat bicara, bukan sekadar penyambung kata, tetapi ia adalah nadi tamadun, jiwa bangsa, dan wadah kebijaksanaan yang telah mengalir dalam peradaban kita sejak zaman berzaman.

“Bahasa ini telah menjadi tonggak penyatuan bangsa, menyulam makna dalam segenap detik sejarah, dan merakam peristiwa dalam tinta yang tidak akan luntur ditelan zaman,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika majlis perasmian Masjid Baharu Kampung Seberang Jelai dengan memahsyurkannya dengan nama Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah serta majlis berbuka puasa, di sini.

Dalam pada itu Paduka Baginda bertitah, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan ianya tidak boleh dipinda selain mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

“Oleh yang demikian, dalam kancah arus moden yang sering mengagungkan bahasa asing, janganlah kita menjadi alpa hingga bahasa sendiri terpinggir.
“Saya agak khuatir melihat semakin ramai yang lebih ghairah menjunjung bahasa asing, hingga lupa bahawa bahasa sendiri adalah lambang maruah dan harga diri bangsa,” titah Paduka Baginda.

Sementara itu Paduka Baginda turut menyentuh berkenaan usaha memartabatkan tulisan Jawi yang merupakan amanah yang wajib dipikul.
“Kerajaan Negeri Pahang telah menguatkuasakan Dasar Penggunaan Bahasa Melayu dan Tulisan Jawi dalam premis perniagaan dan papan tanda sejak tahun 2020, dan saya berharap semua pihak memberikan kerjasama penuh dalam menjayakan dasar ini.

“Pemerkasaan Bahasa Melayu dan tulisan Jawi bukan hanya sekadar agenda negeri, tetapi juga agenda nasional yang perlu kita junjung dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut menegaskan bahawa Negeri Pahang sebagai negeri yang kaya dengan adat, budaya dan sejarah mesti menjadi contoh dalam mempertahankan Bahasa Melayu dan tulisan Jawi.

“Bahasa Melayu dan tulisan Jawi bukan sekadar simbol tetapi lambang ketuanan dan kedaulatan bangsa yang perlu dibela demi kelangsungan jati diri generasi akan datang.
“Semoga dengan usaha dan keazaman kita bersama, Negeri Pahang terus menjadi benteng utama dalam memartabatkan Bahasa Melayu dan tulisan Jawi. Insya-Allah,” akhiri Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG
