MARAN, 25 November 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar satu pasukan khas bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Pahang ditubuhkan terutamanya membabitkan kejadian lemas atau orang hilang di Sungai Pahang.
Titah Paduka Baginda, ia merupakan satu keperluan ekoran ramai anggota dari luar daerah dan negeri perlu diambil bertugas setiap kali kejadian lemas dan seumpamanya.
“Sudah sampai masanya Pahang mempunyai team dedicated buat SAR. Kita tahu hotspot ni di Chenor, Temerloh, Jerantut, Lipis, Jerantut jadi kita kena kerah anggota dari beberapa daerah dan negeri baru dapat mempercepatkan operasi .
“Sekurang-kurangnya (kewujudan pasukan khas) dapat memantau di sepanjang sungai walaupun kita tahu Sungai Pahang ni panjang.
Satu lagi buatlah notis, papan tanda peringatan di setiap daerah supaya orang ramai termasuk pemancing-pemancing agar lebih berwaspada. Jangan ambil mudah dengan persekitaran dan sungai, termasuk memakai kasut yang sesuai supaya tak mudah licin, tergelincir,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berangkat bercemar duli melihat operasi mencari dan menyelamat seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Afzan Chenor yang dikhuatiri lemas di Sungai Pahang, berhampiran Jeti Chenor, Kampung Chenor di sini hari ini.
Murdani Ab Rahman, 53, yang bertugas sebagai Guru Penolong Kanan Kokurikulum disedari terjatuh ke dalam sungai kira-kira jam 6 petang semalam sebelum dibawa arus deras.
Paduka Baginda tiba pada pukul 1 tengahari untuk melihat sendiri operasi yang dilakukan pasukan mencari dan menyelamat serta bertemu keluarga mangsa dan menzahirkan rasa dukacita di atas kejadian yang berlaku.
“Saya berharap keluarga mangsa tabah menjalani saat sukar ini. Saya juga berharap operasi yang dilakukan berjaya menemui Cikgu Murdani.
“Saya harap semua yang terlibat dalam operasi mengambil langkah-langkah keselamatan pada tahap tertinggi ekoran keadaan cuaca dan arus sungai yang deras,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG