LIPIS, 22 Mac 2025 – Pemilihan empat daerah di Pahang yang tersenarai antara 20 bandar paling bahagia di Malaysia bagi tahun 2025 turut menarik perhatian Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.

Paduka Baginda bertitah, gelaran tersebut sememangnya sesuai dengan suasana yang dapat dinikmati khususnya di daerah Lipis.
“Saya bangga kerana kejayaan di Lipis, Cameron Highlands, Jerantut dan Temerloh.

“Di Lipis hari ini, saya lawat bandar, masjid, nampak semua orang senyum dinobatkan dengan gelaran tersebut, sangat sesuai.
“Rakyat di Pahang sangat bertuah, moga semua diberkati dan kuat kerja, solat, mengaji dan lain-lain,” titah Paduka Baginda.

Paduka Baginda bertitah sedemikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Maahad Tahfiz Ar-Rushd (MTAR) di Kampung Tanjung Gahai di sini semalam.
Semalam, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan kejayaan 20 bandar berdasarkan Indeks Kebahagiaan Malaysia.

Lipis, Cameron Highlands, Jerantut meraih pengiktirafan bagi kategori Majlis Daerah manakala Temerloh tersenarai dalam kategori Perbandaran. -KESULTANAN PAHANG