KUANTAN, 16 Jun 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada tiga pegawai kanan kerajaan negeri yang dilantik menjadi ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang.

Tiga individu berkenaan ialah YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Indera Nazri bin Abu Bakar; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Fadzilla bin Haji Salleh dan Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Tuan Muhammad Saifuddin bin Hashim Musaimi.

Paduka Baginda bertitah pelantikan tersebut bukan sekadar satu penghormatan, sebaliknya amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh komited dan tanggungjawab.
Pada majlis sama, Paduka Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada mantan YB Setiausaha Kerajaan Dato Sri Haji Zulkifli bin Haji Yaacob atas jasa dan sumbangan yang tidak berbelah bahagi sepanjang tempoh perkhidmatan beliau dalam kerajaan negeri.

“Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada mantan Pengelola Bijaya Diraja Majlis Kesultanan Pahang, Dato’ Haji Ahmad Khirrizal bin Haji Abdul Rahman yang telah bertukar portfolio sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di atas jasa dan sumbangan sepanjang menerajui Majlis Kesultanan Pahang selama ini,” titah Paduka Baginda.
Paduka bertitah demikian ketika berkenan berangkat bercemar duli menghadiri Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang Kali Ke-119 di Hotel Grand Darul Makmur, hari ini.

Keberangkatan Paduka Baginda diiringi YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah serta YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. -KESULTANAN PAHANG
