KUALA LUMPUR, 29 April 2025 -Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) dalam Kepimpinan Islam dan Pembangunan Madani kepada Presiden Republik Maldives, Dr. Mohamed Muizzu.

Paduka Baginda selaku Ketua Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis Konvokesyen Khas UIAM 2025 berkenaan yang diadakan di UIAM Kampus Gombak, hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, YB Senator Dato’ Sri Diraja Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Kesihatan Malaysia merangkap Menteri Pengiring, YB Dato’ Sri Dr. Dzulkefly Ahmad; Presiden UIAM, Tan Sri Samsudin Osman dan Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr Osman Bakar.

Sementara itu Paduka Baginda dalam titah menzahirkan bahawa anugerah ini adalah pengiktirafan di atas sumbangan cemerlang Dr. Mohamed Muizzu yang disifatkan sebagai seorang pemimpin berpandangan jauh yang berpaksikan prinsip-prinsip Islam dalam memandu Maldives ke arah kemajuan, keadilan, dan kelestarian.

“Sebagai sebahagian daripada misi bersama untuk memperkukuh kerjasama akademik, saya dengan sukacita mengumumkan hasrat kami untuk menghantar pelajar-pelajar dari Kulliyyah Senibina dan Reka Bentuk Alam Sekitar UIAM untuk menjalankan kajian mendalam mengenai Hukuru Miskiy.

“Melalui kajian menyeluruh terhadap pembinaan dan nilai sejarahnya, kami berharap dapat memelihara warisan ikonik ini untuk generasi akan datang serta mengeratkan lagi hubungan akademik dan budaya antara UIAM dan Maldives,” titah Paduka Baginda.

Dalam pada itu, Paduka Baginda menyatakan pandangan Maldives merupakan contoh inspirasi tentang ketahanan, inovasi, dan kepimpinan berprinsip.

“Di bawah pimpinan Dr. Mohamed Muizzu, negara ini telah menyaksikan kemajuan besar dalam infrastruktur, pemerkasaan wilayah, dan pembangunan lestari.

“Sebagai Presiden, beliau telah memimpin dengan komitmen teguh terhadap kedaulatan, kebebasan, dan kemakmuran rakyatnya. Dasar luar negara beliau yang berprinsip dan sokongan berani terhadap keadilan terutamanya sokongan tidak berbelah bahagi kepada Palestin, mencerminkan seorang pemimpin yang berpandukan prinsip moral dan aspirasi rakyatnya,” titah Paduka Baginda.

Paduka Baginda menzahirkan harapan agar penganugerahan ini menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih mendalam antara UIAM dan Republik Maldives, mengukuhkan ikatan persahabatan dan saling menghormati demi masa depan yang lebih gemilang. -KESULTANAN PAHANG