BERA, 17 Mac 2025: Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat ke Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran Wanita Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur tahun 2025 di Masjid Darul Fikri, di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Paduka Baginda pada pukul 10.50 pagi disambut Yang Dipertua Persatuan Amal Isteri Wakil Rakyat Pahang (Teratai), YH. Datin Sri Dato’ Burhah Mohammed serta Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan.

Paduka Baginda turut berkenan meluangkan waktu membaca kalam suci itu bersama-sama kia-kira 1000 orang wanita yang hadir mengimarahkan majlis berkenaan yang diadakan bersempena sambutan hari Nuzul Al-Quran, esok.

Bacaan Al-Quran dipimpin Johan Qariah Negeri Pahang Siti Fatimah Mohd Noor yang bermula pukul 11 pagi selesai kira-kira pukul 12 tengahari.

Pada majlis tersebut, baginda turut berkenan menyempurnakan pengurniaan sumbangan kepada 50 orang asnaf dan anak yatim. -KESULTANAN PAHANG
