KUALA LUMPUR, 26 April 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat ke program “RAGI: Visual Rhythms of Malay Tenun” yang berlangsung di Harta Space, Ampang, di sini semalam.
Keberangkatan tiba Paduka Baginda telah disambut oleh para jemputan kehormat serta pihak penganjur termasuk wakil daripada CIMB Group dan komuniti seni serta warisan tekstil tempatan.
Program berkenaan menampilkan pengisian yang memfokuskan kepada keindahan dan keunikan seni tenunan Melayu, termasuk sesi “Unveiling the Masterpiece: A Curated Experience”, forum kurasi muzium serta perkongsian eksklusif berkaitan busana istana melalui sesi “Stitched in Time: A Personal Journey Through Palace Couture”.
Paduka Baginda turut berkenan mengikuti pengisian program serta menyaksikan persembahan muzik gamelan secara langsung oleh Perbadanan Muzium Negeri Pahang yang menyerikan lagi majlis.
Keberangkatan Paduka Baginda mencerminkan keprihatinan dan sokongan berterusan institusi diraja terhadap pemeliharaan warisan seni budaya, khususnya tenunan tradisional Melayu yang menjadi lambang identiti dan khazanah bangsa. -KESULTANAN PAHANG





