KUANTAN 16 Mac 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat bercemar duli memasak bubur lambuk di Padang MBK 1, hari ini.

Paduka Baginda tiba pada pukul 2.20 petang sebelum berkenan memasak tiga periuk besar bubur lambuk pada program anjuran Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Negeri Pahang dan Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Pahang.

Paduka Baginda kemudiannya berkenan mengurniakan kira-kira 2500 bekas bubur lambuk kepada orang ramai yang berada di Padang MBK 1 dan meluangkan masa beramah mesra dengan mereka.

Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YHM Che Puan Panglima Puteri Hajjah Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moizz turut berkenan berbuka puasa bersama orang ramai di padang ini yang menjadi lokasi popular untuk berbuka puasa apabila setiap kali tiba bulan Ramadan. -KESULTANAN PAHANG


