KUANTAN, 14 Mei 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat merasmikan tiga kemudahan kesihatan baharu di Sultan Ahmad Shah Medical Center (SASMEC @IIUM), hari ini.

Tiga kemudahan kesihatan tersebut ialah Unit Reproduktif, Unit Rawatan Rapi Pediatrik dan Klinik Bergerak.
Paduka Baginda selaku Ketua Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam titah menzahirkan rasa bangga di atas komitmen dan usaha institut pengajian ini meningkatkan kesejahteraan secara menyeluruh dengan menggabungkan kecemerlangan perubatan dan nilai etika serta spiritual Islam.

“Penubuhan unit-unit ini bukan sahaja mencerminkan kemajuan perubatan, tetapi juga rahmah, kasih sayang dan belas kasihan dalam tindakan.
“Kewujudan Unit Reproduktif dapat meningkatkan mertabat dan kesihatan wanita serta menyokong golongan ini melalui situasi penting dan runcing.

“Begitu juga dengan Unit Rawatan Rapi Pediatrik yang menjadi harapan bagi anak-anak serta Klinik Bergerak yang mampu memberi khidmat kesihatan menjangkaui populasi terpencil dan terpinggir.
“SASMEC @IIUM kini bertambah maju dan menjadi tonggak penyampaian kesihatan dengan memastikan tiada siapa ketinggalan dalam mendapat hak penjagaan kesihatan yang berkualiti dari sejak penubuhannya pada tahun 2016,” titah Paduka

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha bin Sakmud; Presiden UIAM, Tan Sri Samsudin Osman; Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr Osman Bakar serta Pengarah SASMEC @IIUM, Prof. Dato’ Dr Mohamed Saufi Awang.
Sementara itu Paduka Baginda menzahirkan harapan agar permohonan untuk tambahan 300 katil diberi pertimbangan yang sewajarnya dan segera.

“Ia bukan hanya untuk menampung permintaan (pesakit) yang semakin meningkat tetapi juga untuk memastikan bahawa SASMEC @IIUM dapat terus memenuhi mandatnya dalam memenuhi keperluan kesihatan penduduk dengan cekap dan saksama.
“Ia juga bukan ini sekadar soal infrastruktur, tetapi komitmen terhadap kesejahteraan rakyat, akses yang saksama dan terhadap kelestarian jangka panjang penyampaian penjagaan kesihatan di rantau kita,” titah Paduka Baginda.

Paduka Baginda turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada para golongan profesional yang berdedikasi, doktor, jururawat, penyelidik, dan kakitangan sokonga yang telah bekerja tanpa mengenal lelah untuk merealisasikan visi ini.
“Pengabdian, ketabahan, dan perkhidmatan anda mewakili nadi sistem penjagaan kesihatan kita,” akhiri Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG