ABU DHABI, 1 Mei 2025 – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli berangkat ke majlis santapan tengah hari bersama barisan Pengurusan Tertinggi Universiti New York, Abu Dhabi (NYUAD).
Pada majlis tersebut, KDPM Tengku Mahkota Pahang berkesempatan bertukar-tukar idea berkenaan bidang Pendidikan, konservasi Harimau Malaya, serta konservasi hidupan laut di negeri Pahang.
Untuk rekod, penyelidik daripada NYUAD terlibat dalam misi kajian di perairan Negeri Pahang dan Pulau Tioman bersama pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) OceanX, penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta jabatan dan agensi tempatan antara September hingga Oktober tahun lepas.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor, Susan Balch dan Marta Losada, Ketua Kakitangan dan Pegawai, Eric Hamilton, Profesor Biologi, Professor John Burt, Profesor Madya Rita Bento dan turut diiringi oleh Timbalan Ketua Perwakilan, Kedutaan Malaysia Abu Dhabi, Farisha Salman. -KESULTANAN PAHANG