ABU DHABI, 3 Oktober 2024 – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Naib Canselor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) berkenan menyaksikan Majlis Menandatangani MoU antara UnIPSAS dan Mohamed Bin Zayed University for Humanities (MBZUH), hari ini.
Turut diadakan ialah majlis menandatangani MoU antara Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan MBZUH.
Keberangkatan KDPM Tengku Mahkota Pahang membuktikan komitmen dan dedikasi yang mendalam serta perhatian serius kepada perkembangan pengajian tinggi agama dan juga akademik di negeri Pahang khususnya.
Antara objektif MoU tersebut adalah untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang penyelidikan, pendidikan dan latihan. Kerjasama tersebut akan membuka ruang yang lebih luas untuk perkembangan aktiviti intelektual antara ketiga-tiga institusi yang seterusnya akan mempunyai kesan positif kepada masyarakat.
MoU dengan MBZUH ini juga akan membuka peluang yang lebih besar untuk meningkatkan kualiti dan memberi lebih ruang kepada pelajar dan kakitangan UniPSAS dan UMPSA untuk meneroka pelbagai aspek dalam bidang ilmu di MBZUH.
Dalam pada itu, dengan termeterainya MoU ini, UniPSAS turut bercadang untuk mula menghantar pelajar diploma bagi menyambung pelajaran di MBZUH pada tahun ini atau selewat-lewatnya pada tahun 2025.
UniPSAS juga dapat menjalinkan kerjasama dengan MBZUH dalam menawarkan dwi ijazah, penyelidikan dan inovasi serta pertukaran pelajar dan kakitangan akademik dan bukan akademik UniPSAS.
Bagi UMPSA pula, MoU yang ditandatangani adalah berkisar mengenai kerjasama akademik, penyelidikan dan pertukaran akademik, mobiliti pelajar dan fakulti, lembaga penasihat bersama dan pembiayaan penyelidikan serta penyelarasan dan pengembangan tempatan.
Melalui kerjasama ini, ia akan dapat mengukuhkan pendidikan, penyelidikan, dan pertukaran budaya sambil mengukuhkan ikatan antara kedua-dua institusi. MoU ini juga membuka pintu untuk inisiatif penyelidikan kolaboratif, penyertaan bersama dalam jurnal antarabangsa, dan pembangunan program dwi ijazah yang sudah pasti akan memberi manfaat kepada pelajar dari kedua-dua institusi. -KESULTANAN PAHANG