Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 5 OGOS 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Pameran ‘Pahang In Nature’ di Muzium Seni Kontemporari (MOCA) di Kompleks Muzium Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan yang akan mempamerkan 33 hasil karya artis, YM Tengku Marina Tengku Ibrahim.
Dalam titah, baginda berhasrat mewujudkan Muzium Agong yang bakal menempatkan pelbagai lakaran perjalanan selama lima tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan baginda sendiri menerajui negara Malaysia.
“Selepas tamat tempoh pemerintahan KDYMM YDP Agong pada Januari depan, selama lima tahun perjalanan berhubung pemerintahan KDYMM YDP Agong dan segala hadiah dan kurniaan selama lima tahun ini akan ditempatkan di dalam Muzium Agong supaya rakyat dapat melihat sendiri bagaimanakah permulaan sehinggalah berakhir pemerintahan baginda yang akan dipamerkan di Malaysia.
“Turut dipamerkan ialah legasi peninggalan di sepanjang pemerintahan Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah ketika baginda turut menjadi YDP Agong suatu ketika dahulu dan kita akan pamerkan kerana Pahang mempunyai dua Agong yang pernah memerintah Malaysia, semuanya akan dipamerkan dan ditempatkan di muzium, so please Dato’ Sri Menteri Besar, terima kasih,” titah baginda.
Turut berangkat mengiringi KDYMM Seri Paduka Baginda ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama ialah YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama isteri, Datin Sri Burhah Mohammed, Pengerusi Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin dan barisan kepimpinan Kerajaan Pahang.
Dalam titah, baginda turut menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Pahang yang sentiasa memberi sokongan kepada baginda dalam pelbagai usaha dan projek.
“Kepada Kerajaan Negeri Pahang saya ingin mengucapkan terima kasih banyak kerana sentiasa memberikan sokongan kepada saya sama ada Tenun Pahang Diraja, Muzium atau apa sahaja projek Kerajaan Pahang sentiasa memberi sokongan kepada saya begitu juga dengan YDP Agong kerana yang sentiasa memberi galakan kepada saya dan di belakang setiap kejayaan wanita pasti ada lelaki yang memberi galakan dan sokongan,” titah baginda.
Penubuhan MOCA pertama di Malaysia ini bakal memberikan pemahaman kepada masyarakat tentang kepentingan menghayati dan menghargai karya seni terutamanya dalam melestarikan warisan tradisi.
Pameran ‘Pahang In Nature’ di Muzium Seni Kontemporari (MOCA) di Kompleks Muzium Sultan Haji Ahmad Shah ini akan mempamerkan sembilan galeri antaranya adalah Galeri Etnografi, Taman Bunyi-bunyian dan alat-alat muzik yang mempamerkan alat muzik seperti gambus, gitar, violin, biola, celo, double bass dan piano. – PAHANGMEDIA