Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
PEKAN, 04 OGOS 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah amat prihatin terhadap rakyat malah sering berdampingan dengan mereka tanpa protokol yang ketat.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau serta rakyat sekalian amat terharu dan cukup berbangga dengan sifat pekerti mulia yang ditunjukkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, yang sering kali bercemar duli berangkat untuk menyantuni rakyat, terutamanya ketika rakyat ditimpa musibah dan juga bencana.
“Malah, menerusi Yayasan Al-Sultan Abdullah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, telah berkenan untuk mengurniakan rumah secara percuma kepada rakyat jelata yang terpaksa menganggung kesusahan disebabkan kediaman mereka rosak atau musnah akibat bencana, serta rumah yang terlalu usang dan tidak boleh didiami lagi.
“Sifat keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku ini jua, bertepatan sekali dengan slogan ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’ di mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku jualah tempat patik-patik hamba rakyat sekalian menumpang kasih dan juga berteduh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika persembahan ucapan Ikrar Taat Setia Mewakili Wakil-wakil Rakyat, Pegawai-pegawai Kerajaan, Badan Berkanun, dan Rakyat Negeri Pahang Darul Makmur sempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Ke-64 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Istana Abu Bakar, Pekan hari ini.
Beliau dalam sembah ucapannya menyatakan sifat dan keperibadian Seri Paduka Baginda turut diwarisi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang.
“Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi’, ‘Bagaimana acuan begitulah kuihnya’, dan betapa, ‘Rebung tidak jauh dari rumpun’. Sifat-sifat mulia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Ayahanda, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah pun terserlah diwarisi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang.
“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sepertimana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Ayahanda jua, senantiasa berdampingan dengan rakyat jelata serta bertanya khabar dan turut menyantuni mereka walau dalam apa jua keadaan.
“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku juga begitu mesra apabila bersama-sama dengan rakyat jelata, sama ada menerusi acara-acara rasmi mahupun ketika bersantai melihat keadaan negeri,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa kagum dengan kesungguhan Pemangku Raja Pahang dalam memastikan pembangunan di negeri ini diuruskan berlandaskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Takbir Urus (ESG).
“Malah, ketegasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di negeri ini telah membolehkan Tasik Chini mengekalkan status Tapak Rizab Biosfera di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sainstifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau UNESCO pada tanggal 14 Jun 2023 yang lalu.
“Begitu juga dengan keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku terhadap usaha pemeliharaan Harimau Malaya yang sedang diancam kepupusan,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang juga sentiasa mengambil pendekatan Mesra Rakyat dan Mesra Pelabur bagi memastikan pembangunan serta pelaburan negeri dapat terus dipacu dengan baik.
“Demi melaksanakan amanah dan tanggungjawab ini, Patik sentiasa mengambil pendekatan ‘Mesra Rakyat’ dan ‘Mesra Pelabur’ bagi memastikan pembangunan serta pelaburan negeri dapat terus dipacu dengan baik, agar hasilnya dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat, tanpa mengambil kira perbezaan kaum, agama serta warna politik, menerusi pelbagai inisiatif yang telah disediakan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku.
“Di samping itu, sukacita Patik menyembah maklum, bahawa Negeri Pahang Darul Makmur telah berjaya mencatatkan negeri ketiga terbaik pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK bagi tahun 2022, berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini.
“Berdasarkan laporan tersebut, Negeri Pahang Darul Makmur mencatatkan pertumbuhan KDNK 10.8 peratus dan mengatasi pertumbuhan KDNK Nasional 8.7 peratus,” katanya. – PAHANGMEDIA