Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 02 OGOS 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan merasmikan Pusat Kesihatan dan Rehabilitasi WQ Park di sini.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada 11 pagi diiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
Seri Paduka Baginda dalam titah melahirkan rasa sukacita di atas pembukaan WQ Park di Kuantan yang merupakan sebuah pusat pemulihan perubatan yang komprehensif kepada seluruh pesakit dari seluruh peringkat umur.
“WQ Park terdiri daripada pasukan profesional yang berkemahiran tinggi dan dedikasi komited untuk membantu pesakit mencapai potensi pemulihan yang maksimum,” titah baginda.
Seri Paduka Baginda turut berkongsi pengalaman baginda dan anakanda baginda ketika mendapatkan rawatan dan pemulihan di WQ Park sebelum ini.
“Masih segar dalam ingatan saya, 13 tahun dahulu saya telah merasmikan WQ Park yang pertama di Kelana Jaya dan sehingga kini WQ Park padat sekali dengan pesakit termasuklah anak-anak saya.
“Baru-baru ini anak saya mendapat kecederaan, pembedahan dan terpaksa pergi berulang alik untuk mendapat rawatan di WQ Park,” titah baginda.
Turut mengiringi Seri Paduka Baginda berdua, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang; dan Pengarah Urusan Pusat Kesihatan dan Rehabilitasi WO Park, Dato’ Sri Dr Zulkharnain Ismail.
WQ Park Kuantan merupakan cawangan kelima WQ Park selepas Kelana Jaya, Bangi, Sentul serta Johor Bahru di mana ia merupakan pusat sehenti bagi perkhidmatan pemulihan.
Pusat pemulihan ini turut menyampaikan bantuan ke sekolah dan pusat dalam komuniti dalam bentuk penyediaan prasarana khas yang dipanggil WQSensesPark di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Sungai Talam, Indera Mahkota dan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sri Nilam, Balok. – PAHANGMEDIA