KUANTAN 1 Jun -Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) perlu terus komited dalam membangunkan tahap kesiagaan peralatan dan juga modal insan selari dengan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2025 agar seiring keperluan kuasa udara pada masa kini.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah, dalam era teknologi yang pesat berkembang ini Paduka Baginda menegaskan bahawa adalah penting untuk terus meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan dalam mempertahankan kedaulatan negara.
“Perkembangan teknologi dan ancaman baharu dunia hari ini menuntut kita untuk sentiasa berinovasi dan memperkukuhkan keupayaan pertahanan.
“Beta yakin dan percaya, dengan semangat juang yang tinggi dan sokongan padu semua pihak, TUDM akan terus maju dan berjaya dalam mengharungi 1001 cabaran mendatang,” titah Paduka Baginda sempena Istiadat Perbarisan Hari Ulang Tahun TUDM Ke-66 di Pangkalan Udara Kuantan di sini hari ini.
Kebawah Duli Paduka Baginda turut menegaskan bahawa kini, parameter tanggungjawab TUDM bukan sahaja tertumpu kepada pertahanan ruang udara malah merupakan tulang belakang dalam usaha sama mengukuhkan benteng di zon maritim serta daratan kedua-dua teater operasi Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur.
“Pada hemat Beta, pasukan yang sentiasa terbang tinggi di angkasa raya ini bukan sahaja sebuah angkatan udara tetapi juga adalah simbol keberanian, integriti dan dedikasi.
“Oleh itu, teruslah terbang membawa panji-panji keamanan demi kedaulatan tanah air supaya terus terpasak teguh di bumi bertuah ini,” titah baginda.
Beta juga menyeru kepada semua untuk terus bersatu padu dan bekerjasama dalam menjaga keamanan dan kestabilan negara. Semua pihak bersama-sama memelihara dan mempertahankan nikmat keamanan yang dikecapi sehingga hari ini.
“Ingatlah.. kita kongsi udara yang sama, langit biru yang sama dan tanah yang sama.
“Yakinlah..hanya dengan perpaduan yang utuh dan kerjasama yang jitu, kita dapat mempertahankan kedaulatan negara ini. Janganlah mudah bertindak melulu dan sentiasa rasional dalam membuat tindakan,” titah baginda. – KESULTANAN PAHANG