ABU DHABI 27 Feb. – KDYMM Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat bertemu dengan Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Yang Amat Mulia Sheikh Mohamed Bin Zayed Al Nahyan sempena Lawatan Khas baginda ke negara berkenan.
Lawatan khas yang bermula pada 25 hingga 27 Februari itu adalah atas jemputan YAM Presiden UAE.

Ia merupakan lawatan pertama baginda ke luar negara selaku Sultan Pahang selepas tempoh lima tahun di Istana Negara.
Kunjung hormat Kebawah Duli Tuanku itu bukan sahaja mengeratkan silaturahim dua keluarga diraja tetapi berjaya mengukuhkan hubungan dua hala antara Abu Dhabi dan Pahang.
Pada lawatan kerja itu, sebanyak tiga sesi mengadap diadakan dengan dihadiri oleh Timbalan Presiden UAE, YM Sheikh Mansour bin Zayed dan beberapa menteri kabinet UAE.
Kebawah Duli Tuanku turut mengadakan perbincangan bersama Putera Mahkota Abu Dhabi YAM Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed Al Nahyan. Antara intipati perbincangan adalah mengenai Pusat Konservasi Harimau Malaya hasil cetusan idea KDYTM Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Baginda juga berkesempatan menunaikan solat Maghrib berjemaah bersama YAM Presiden dan menteri-menteri kabinet di Istana rasmi Presiden.
Untuk rekod, UAE merupakan rakan dagangan kedua terbesar di rantau ini selepas Arab Saudi. – KESULTANAN PAHANG