KUALA LUMPUR, 9 April 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj bertitah mahu melihat Tenun Pahang terus berkembang di persada negara dan dunia.

Pelbagai usaha dilakukan termasuk penganjuran julung kali Piala Tunku Azizah iaitu Pertandingan Tenun Pahang Diraja yang dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia bermula 27 Mac hingga 30 April ini.

Terinspirasi dengan Piala Seri Endon, Paduka Baginda yang juga Penaung dan Pengasas Yayasan Tenun Pahang Diraja bertitah pertandingan ini adalah salah satu usaha untuk melibatkan lebih banyak pihak dengan keunikan dan keistimewaan Tenun Pahang.

“Setakat ini kita dah terima 100 penyertaan dan ia masih dibuka kepada mereka yang berminat dan berbakat dalam menghasilkan Tenun Pahang.

“Saya juga berharap melalui penyertaan ini saya dapat melihat lebih banyak idea-idea kreatif dihasilkan termasuk oleh golongan muda tanpa meminggirkan ciri-ciri khas dan tradisional yang ada pada Tenun Pahang,” titah Paduka Baginda.

Paduka Baginda bertitah demikian pada Majlis Sidang Media Piala Tunku Azizah (Pertandingan Tenun Pahang Diraja) di Kompleks Kraf di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Pahang, Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin serta Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia serta Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tenun Pahang Diraja, Datuk ‘Ainu Sham binti Haji Ramli.

Piala Tunku Azizah (Pertandingan Tenun Pahang Diraja) ini mengetengahkan kategori produk Kain Samping dan Sarung Corak Beragi dan ia dibuka kepada warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas secara individu atau berkumpulan yang tidak melebihi tiga orang ahli.

Prosedur pertandingan dinilai melalui dua peringkat iaitu Peringkat Saringan dan Peringkat Akhir.
Pada peringkat saringan, peserta perlu menyediakan lukisan persembahan produk berserta tema dan konsep. Peserta akan dinilai berdasarkan kriteria kecemerlangan, warisan, komersial dan persembahan.

Sebanyak 20 penyertaan yang melepasi penilaian di peringkat saringan dipilih ke peringkat akhir. Pada peringkat akhir, peserta perlu menyiapkan produk dan menghantar produk siap pada 18 Ogos 2025.
Peserta akan dinilai berdasarkan kriteria keaslian, pertukangan, inovasi dan persembahan.

Majlis Penyampaian Hadiah Piala Tunku Azizah dijangka berlangsung pada 1 September 2025 iaitu pada Temasya Warisan Pahang.
Hadiah wang tunai RM30,000 menanti pemenang di tempat pertama, manakala pemenang di tempat kedua dan ketiga akan membawa pulang wang tunai RM20,000 dan RM10,000 bersama Piala serta sijil.

Lima hadiah saguhati iaitu wang tunai RM3,000 turut disediakan bersama piala dan sijil. -KESULTANAN PAHANG