KUANTAN, 19 November 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar Kurikulum di semua madrasah dan pondok di negeri ini dapat diselarikan agar tiada pelajar yang ketinggalan dari segi pencapaian akademik.
Paduka Baginda bertitah mengingatkan kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Negeri Pahang (MUIP), Yayasan Pahang, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) untuk bergabung tenaga membantu maahad tahfiz dan pondok yang berada dalam keadaan daif.
“Baru-baru ini saya telah berjumpa dengan semua pengetua, 190 (tahfiz, madrasah dan pondok) seluruh Negeri Pahang. Malangnya sebahagian pondok atau madrasah ada yang baik, ada kurang baik, ada yang daif dan ada yang sangat daif.
“Saya telah menitahkan MUIP, Yayasan Pahang, UNIPSAS dan UMPSA agar dapat bergabung memperbetulkan Kurikulum semua pondok-pondok ini dan diselarikan agar tiada anak-anak kita yang ketinggalan sekaligus merugikan masa hadapan mereka nanti.
“Kita akui mereka yang boleh hafaz Al-Quran adalah satu kelebihan, sudah pasti mereka tahu cara dan kaedah belajar dengan baik.
“Saya sanjung dan hormati mereka yang boleh mengafaz Al-Quran. Kalau boleh tumpu juga pada akademik agar tidak ketinggalan dalam arus pendidikan perdana,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan Maahad Tahfiz Negeri Pahang 2024 di Hotel Zenith di sini semalam.
Paduka Baginda berkenan bercemar duli mengurniakan anugerah kepada 52 pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) yang memperoleh keputusan cemerlang semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.
Pada majlis berkenaan, Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan anugerah kecemerlangan kepada dua pelajar MTNP iaitu Akif Ibrahim, 18, dan Nur Amelia Diyana Azman, 18, yang memperoleh keputusan 11A+ dalam SPM tahun lalu.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj bersama-sama YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan YHM Che Puan Panglima Puteri Hajjah Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moiz.
Sementara itu Paduka Baginda dalam titah turut menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian MTNP yang kini mula dikenali di atas kecemerlangan pendidikan yang berjaya dilakar.
“Saya cukup kagum, bangga, terharu, sayang dan hormati institusi ini. Saya harap pada tahun-tahun hadapan terus kekal di tahap terbaik sekali di Pahang dan juga negara ini serta dikenali di peringkat lebih tinggi.
“Saya juga berharap Maahad Tahfiz ini dapat buka peluang kepada mereka dari luar dan seterunya berkembang di peringkat antarabangsa. Saya sentiasa memantau dan mendapat laporan daripada pegawai secara langsung, jadi saya tak mahu ada masalah di MTNP,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda dalam itu menegaskan bahawa benchmark yang dicapai sekarang sebagai institusi paling cemerlang di Malaysia perlu dikekalkan.
“Kita tidak boleh leka, kena maintain standard kerana setiap pelajar yang datang adalah pelajar yang komited untuk kekalkan MTNP sebagai sebuah institusi yang boleh dibanggakan,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG