KUANTAN, 21 April 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan rasa gembira kerana dapat bertemu mata dengan rakyat pada program Kembara Pahang 1.0 yang bermula, semalam.

Paduka Baginda bertitah, aktiviti yang disusun memberi peluang kepada Paduka Baginda mendekati dan didekati rakyat negeri ini yang sentiasa menjadi keutamaan Paduka Baginda.

“Kita ada dua hari lagi, antara yang lebih saya looking forward petang esok (hari ini) main bola, dan lusa saya akan memandu ke jalan saya tak pernah lalu sampai ke Pekan. Itulah antara yang saya ternanti nantilah.

“Objektif buat kembara di Pahang ini semata mata saya nak menyantuni rakyatlah.. saya tak pernah pergi sekeliling Pahang ni sebagai Sultan, dulu sebagai Tengku Mahkota ada pergi,tapi tidaklah begini.. ini macam lawatan kerja,” titah Paduka Baginda.

Paduka Baginda bertitah demikian ketika ditemui media usai solat di Masjid Kampung Pantai yang turut menjadi lokasi persinggahan Paduka Baginda pada Program Kembara Pahang 1.0.

Dalam pada itu kembara yang dilalui disifatkan sebagai ruang dan peluang kepada Paduka Baginda untuk melihat sendiri kehidupan rakyat di lokasi yang dilalui.

“Ini lawatan menyantuni rakyat dan sedikit sebanyak tengok keadaan infrastruktur, tengok keadaan rakyat saya, dan saya nak tengok jalan yang saya katakan tadi tak pernah lalui..sampai mana jalan tu masih elok..dan InsyaAllah ini perkara yang saya nanti nanti,” titah Paduka Baginda.

Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut sama mengiringi ialah YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan isteri, YHM Che Puan Panglima Puteri Hajjah Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moizz; YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Alia binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Program selama tiga hari ini melibatkan empat buah daerah iaitu Maran, Temerloh, Bera dan berakhir di Pekan di mana pelbagai program telah diatur sepanjang keberadaan Paduka Baginda berdua di setiap daerah terlibat. -KESULTANAN PAHANG
