MARAN, 17 Mei 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan Mesyuarat Agung Pertubuhan Perkumpulan (WI) Negeri Pahang Kali Ke-72 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.

Keberangkatan Paduka Baginda diiringi YHM Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moizz.

Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan lencana ahli seumur hidup kepada 175 orang ahli dari seluruh negeri Pahang sebelum mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

Sementara itu Paduka Baginda dalam titah menzahirkan rasa bangga dengan komitmen setiap ahli WI Pahang yang telah menyumbang jasa secara langsung mahupun tidak langsung.

“Pada tahun ini fokus adalah ke arah menghargai dan mengiktiraf mereka yang telah berjuang memberi sumbangan dalam membangunkan masyarakat baik di peringkat cawangan, daerah dan negeri.

“Mari kita mengenalpasti pemimpin-pemimpin WI yang berkaliber dan ada legasinya, yang boleh dicontohi oleh wanita-wanita muda dari segi semangat dan perjuangannya untuk membangun masyarakat.

“Insya-Allah dengan cara ini WI boleh melahirkan lebih ramai wanita-wanita hebat yang boleh diketengahkan seterusnya ke peringkat kebangsaan.
Sekurang-kurangnya dengan pengiktirafan dan anugerah yang diberi akan menyuntik semangat pemimpin-pemimpin atau ahli-ahli muda untuk lebih aktif menyumbang untuk masa depan,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG
