PEKAN, 23 April 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan setulus rasa penghargaan buat semua yang terlibat dalam Kembara Pahang 1.0 selama tiga hari bermula Isnin lalu.

Lebih pada itu, Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa terharu dengan kesetiaan rakyat yang menanti kehadiran Paduka Baginda berdua terutamanya di tepi jalan di sepanjang laluan kembara.

“Alhamdulillah saya teruja dengan sambutan kerana mereka telah menyambut di tepi jalan di kampung-kampung walaupun dalam cuaca panas, cuaca hujan.. dan ramai juga tunggu begitu lama sekali ada empat jam, lima jam, dan saya kena berhentilah, takkanlah tak berhenti orang tua-tua tunggu, orang muda, budak budak sekolah.

“Saya berterima kasih kepada yang menunggu saya, keluarga dan rombongan dan minta maaf kalau kita tidak dapat menyantuni begitu lama kerana kena kejar dengan masa..tapi InsyaAllah kalau umur panjang saya akan kunjung lagi ke kampung-kampung di situ,” titah Paduka Baginda.

Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis Penutupan Program Kembara Pahang 1.0 di Pantai Lagenda, hari ini.

Keberangkatan Paduka Baginda berdua diiringi YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan isteri, YHM Che Puan Panglima Puteri Hajjah Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moizz serta YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sementara itu, KDPB Tengku Ampuan Pahang secara berseloroh menyatakan berat badan Paduka Baginda berdua naik kerana dijamu makanan yang enak oleh rakyat.

“Alhamdulillah, saya rasa lagi setiap kali saya berangkat dengan Tuanku kita berhenti makan kat mana-mana.. orang tak payah siapkan, (tapi) bila diorang siapkan (makanan) tak sampai hati tak pergi.
“Bila diorang tahu tuanku (Sultan) nak lalu situ, diorang buat jamuan hari raya..jadi terpaksalah berhenti,” titah Paduka Baginda yang turut menzahirkan rasa gembira dengan sambutan yang diterima di sepanjang perjalanan.-KESULTANAN PAHANG