PEKAN, 23 April 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat bercemar duli mengakhiri perjalanan Program Kembara Pahang 1.0 di acara penutupan di Pantai Lagenda, hari ini.

Keberangkatan Paduka Baginda berdua diiringi YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan isteri, YHM Che Puan Panglima Puteri Hajjah Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moizz serta YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

KDPB Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah ketika berkenan ditemui media menzahirkan rasa syukur dan gembira kerana kembara selamat tiga hari ini telah membawa Paduka Baginda berdua dekat dengan rakyat dan juga keindahan negeri ini.

“Saya begitu puas hatilah kerana saya dapat lihat sendiri kecantikan Sungai Pahang dan pesisiran Sungai Pahang.. dan tambah lagi jalan jalan tepi sungai tu nampak elok lagi tak adaah berlubang teruk sangat dan mungkin lebih baik (dari) jalan di bandar dengan kecantikan alam semulajadi.. dan jalan daripada Chenor ke Paloh Hinai cantik sekali.

“Hari ini hujan sikit, nampaklah awan dan kehijauan dan lihat kampung-kampung dan orang di situ so (jadi) saya harap kawasan itu dilihat semula, tengok apa yang boleh dilihat semula, majukan secara sederhana dan kita kekalkan kecantikan kehijauan disitu, InsyaAllah,” titah Paduka Baginda.

Sementara itu ketika ditanya mengenai perancangan siri Kembara Pahang seterusnya, Paduka Baginda bertitah bahawa hasil post mortem Kembara Pahang 1.0 ini nanti akan dapat membantu menentukan perancangan program seterusnya, sekaligus memperbaiki perkara-perkara penting.

“Kita akan kaji dulu (buat) post mortem seperti yang saya kata hari tu, post mortem daripada sini (Kembara Pahang 1.0) dan kita akan perbaiki lagi program ini, kita tidak mahu rakyat tunggu begitu lama sangat, dan sebagainya dan kita akan kaji dan InsyaAllah saya akan pergi ke daerah daerah lain,” titah Paduka Baginda yang turut menyifatkan kembara ini adalah salah satu ruang untuk tuanku memeriksa keadaan negeri.

Dalam pada itu Paduka Baginda turut mengakui menerima pelbagai aduan daripada rakyat seperti jalan yang perlu dinaiktaraf, (keperluan di) rumah persendirian.

“Semua (aduan) ini saya akan buat nota saya ya,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG
