LIPIS, 3 Jun 2025 – Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini hadir menyantuni mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Kelapa, di sini.

Kehadiran YAM Tengku Panglima Perang adalah selaku wakil Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah untuk menziarahi serta menyampaikan bantuan bersama Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA).

Ketibaan YAM Tengku Panglima Perang disambut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan yang juga ADUN Benta, YB Dato’ Sri Ir.Haji Mohd Soffi bin Tan Sri Haji Abd.Razak serta Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.

YAM Tengku Panglima Perang kemudiannya menerima taklimat ringkas daripada Pegawai Daerah Lipis dan Pegawai Bomba berkenaan kronologi kejadian serta status bantuan yang telah diterima oleh mangsa.

YAM Tengku Panglima Perang turut membuat kunjungan ke tapak kebakaran untuk melihat keadaan rumah yang terjejas sebelum menyampaikan sumbangan berbentuk keperluan asas dan wang tunai kepada mangsa serta keluarga yang terlibat.

Pada Sabtu lalu, empat buah rumah di Kampung Kelapa hangus dijilat api dalam kejadian kebakaran kira-kira pada pukul 5 petang.

Tiada sebarang sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan kesemua mangsa kini berlindung di rumah saudara masing-masing. -KESULTANAN PAHANG
