KUANTAN 31 Mei 2025 – Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, terus menunjukkan komitmen tinggi dalam mendalami ilmu ketenteraan dengan menyertai Eksesais Southern Tiger 2025 yang berlangsung di 3rd Armoured/Amphibious Brigade, Lavarack Barracks, Townsville, Australia.

Latihan selama lebih sebulan yang bermula pada 8 Mei dan berakhir pada 13 Jun 2025 ini memberi tumpuan kepada konsep Perang Konvensional (Conventional Warfare), merangkumi aspek Operasi Berperisai (Armoured Op), Operasi Mekanis (Mechanized Op) dan Operasi Senjata Gabungan (Combined Arms Op) melalui bentuk Latihan Silang (Cross Training Exercise – CTX) dan Latihan Medan (Field Training Exercise – FTX).

Eksesais berskala multilateral ini turut disertai oleh angkatan tentera dari beberapa negara termasuk Australia, Jepun, Korea, Amerika Syarikat dan Papua New Guinea. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula diwakili oleh 4 Bgd (Mek) yang berpengkalan di Kuantan, Pahang melibatkan seramai 120 pegawai dan anggota.- KESULTANAN PAHANG
