KUANTAN, 9 Mei 2025 – YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hadir merasmikan pelancaran Hospital Aurelius Pahang (AHP), semalam.

Selaku wakil Rasmi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, YAM Tengku Amir Nasser turut melawat untuk melihat perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang disediakan di hospital ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Aurelius Pahang, Encik Khairul Salleh Abdul Rani.

Ditempatkan di kawasan tumpuan Kuantan, AHP telah mula beroperasi dengan menawarkan rangkaian penuh perkhidmatan pelbagai disiplin, dan kini dirasmikan sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan nasional Aurelius Healthcare.

Dengan pelaburan sebanyak RM136 juta, hospital ini turut akan dibangunkan dengan sebuah hospital tertiari baharu di tapak pelancaran AHP dan kini dalam proses transformasi, daripada sebuah fasiliti 57 buah katil kepada sebuah hospital tertiari moden setinggi 12 tingkat, lengkap dengan 150 buah katil dan 40 buah klinik pakar bagi membolehkan akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti.

AHP turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan diagnostik dan rawatan canggih seperti MRI 1.5 Tesla, pengimbas CT 64-lembaran, angiogram satu satah, mamogram digital, serta pelbagai perkhidmatan pengimejan dan endoskopi.

AHP sedang membangunkan Pusat Kecemerlangan dalam bidang Onkologi, Pembedahan Invasif Minimum, Ortopedik, serta Kesihatan Wanita dan Kanak-kanak. Usaha ini disokong oleh 29 orang perunding (residen dan sementara) merangkumi 16 bidang kepakaran.

Selaras dengan keperluan pesakit yang semakin meningkat, hospital itu telah memperkenalkan perkhidmatan klinikal baharu dalam bidang dermatologi dan neurosains, termasuk neurologi dan neurosurgeri. -KESULTANAN PAHANG
