PEKAN, 4 September 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat bercemar duli menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Perkampungan Ihsan Al-Sultan Abdullah (Al-Sultan Abdullah Village of Hope) di sini hari ini.
Paduka Baginda berkenan menerima persembahan taklimat yang disampaikan sendiri oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Sultan Iskandar Al-Haj selaku Pengasas dan Pengerusi Yayasan Tenun Pahang Diraja.
Tapak Perkampungan Ihsan Al-Sultan Abdullah berkeluasan 3.88 hektar (9.6 ekar) yang terletak berhadapan Serambi Pekan ini bakal menjadi tempat untuk prospek mahir menenun yang berminat untuk meneruskan kemahiran mereka selepas tamat menjalani hukuman di penjara.
Lebih menarik, perkampungan ini turut akan dibangunkan dengan penempatan bagi golongan itu selain pavilion, dewan, rumah niaga, pusat kraf, rumah kebun, kafe dan restoran.
Majlis pecah tanah ini turut diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut mengiringi ialah YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta isteri YHM Tengku Natasya Puteri Binti Tengku Adnan; YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah serta YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. -KESULTANAN PAHANG






