CAMERON HIGHLANDS, 12 September 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) di Kampung Leryar di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda dengan memandu sendiri pada pukul 12 tengahari disambut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail serta wakil kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mr Aamer Alteneiji.
Pada majlis berkenaan, Paduka Baginda berkenan menyerahkan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) kepada 40 penerima melibatkan penduduk daripada tiga buah daerah iaitu Cameron Highlands, Raub dan Bentong.
Paduka Baginda dalam titah mengakui bahawa Ru’RASA yang dibina dengan kerjasama kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) ini begitu dekat di hati Paduka Baginda malah sentiasa mengambil maklum mengenai perkembangan projek berkenaan dari semasa ke semasa.
Paduka Baginda juga turut menzahirkan penghargaan di atas keprihatinan Presiden UAE Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan atas bantuan menyediakan kediaman demi keselesaan rakyat di negeri ini.
“Terima kasih di atas kebaikan dan harapan yang diberikan mereka kepada rakyat di sini. Berhubung dengan projek rumah ini, saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri melalui Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy, YB Setiausaha Kerajaan Pahang dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) di atas usaha dan kelicinan perjalanan membina sebanyak 450 unit kesemuanya dan saya dimaklumkan, fasa satu sudah siap sepenuhnya dan fasa kedua ada yang siap dan ada yang masih dibina.
“Kita rasa bertuah kerana rumah-rumah ini serba lengkap dan saya harap ini berjalan dengan sebaik mungkin dan secepat mungkin supaya boleh mula Fasa 3,” titah Paduka Baginda.
Dalam pada itu Paduka Baginda bertitah agar setiap penerima menghargai dan menjaga rumah yang diterima masing-masing.
“Saya harap jadikanlah rumah yang diterima ini sebagai harta pusaka anak cucu, jangan fikir nk jual, nak sewa ke orang. Rumah ini untuk awak (penerima) tinggal di situ buat selamanya, jangan cepat fikir perkara yang tidak baik.
“Niat saya untuk bagi (rumah) kepada awak dan anak cucu sampai ke tua, InsyaAllah. Banyak lagi yang akan kita usahakan,” titah Paduka Baginda. — KESULTANAN PAHANG