PUTRAJAYA, 28 September 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat menyaksikan Kejohanan Akhir Polo Piala Malaysia dan Piala Cahaya di Taman Ekuestrian, Putrajaya di sini semalam.
Turut berangkat ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan isteri YHM Tengku Natasya Puteri Binti Tengku Adnan.
Turut sama ialah YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan isteri, YHM Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moizz; YAM Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Dalam pertandingan tersebut, Pasukan Polo Tyrants muncul juara setelah menewaskan Pasukan Polo Citaglobal untuk pertandingan Piala Cahaya dengan keputusan 7-4 manakala pasukan Royal Pahang Polo Club (RPPC) diketuai YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad bersaing hebat dengan pasukan JOGO diketuai Khairy Jamaluddin untuk Piala Malaysia dengan keputusan memihak kepada pasukan JOGO 7-5.5.
YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dinobatkan sebagai Patron Terbaik untuk kejohanan kali ini.
Piala dan hadiah pertandingan disampaikan oleh YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku berdua turut berkenan beramah mesra dan bergambar kenangan dengan orang ramai yang hadir menyaksikan pertandingan tersebut. – KESULTANAN PAHANG