KUANTAN, 11 Oktober 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah mengingatkan setiap pemaju perumahan agar menekankan aspek kualiti dalam setiap projek yang mahu dilaksanakan.
Paduka Baginda bertitah, ia merupakan aspek utama yang perlu diberi perhatian bagi mengelak sebarang masalah kepada semua pihak terutamanya penganiayaan kepada pembeli.
“Kualiti (aspek) la mesti baik, kalau beli rumah substandard (tak penuh spesifikasi) tak bagus, itu ada elemen penipuan.
“Mustahaknya (kena) ada kualiti, ada ruang yang sesuai untuk (saiz) keluarga. Kemudahan wifi, solar pula akan memberi nilai tambah kepada sesuatu projek perumahan itu,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika ditemui media selepas berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan Majlis Pelancaran Residensi D’Marina Fasa 2B di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Paduka Baginda menyentuh berkenan keperluan menyiapkan sesebuah projek mengikut jadual yang ditetapkan bagi mengelak berlakunya situasi projek rumah terbengkalai.
“Itu (siap ikut waktu) mustahak, kalau tidak siap dalam masa yang ditetapkan, kos akan meningkat seterusnya membebankan pemaju, dan akhrinya caj dikenakan pula kepada pembeli rumah,” titah Paduka Baginda.
Sementara itu Paduka Baginda bertitah, pembinaan rumah di bandar (Kuantan) ini bertuah kerana bandar luas jadi semua kawasan projek bina rumah adalah strategik dan harga masih berpatutan.
“Saya berharap lebih ramai warga Kuala Lumpur akan mempertimbangkan untuk memiliki rumah di luar ibu kota, khususnya di kawasan seperti Kuantan dan Bentong.
“Dengan kewujudan ECRL (Laluan Rel Pantai Timur) yang bakal beroperasi tidak lama lagi, kawasan-kawasan ini dijangka menjadi hab pertumbuhan baharu dengan banyak projek perumahan moden sedang dibangunkan di sepanjang laluan tersebut.,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG