KUALA LIPIS, 12 Oktober 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan harapan tinggi terhadap usaha memelihara khazanah dan warisan negeri ini agar ia terus dapat diwarisi oleh generasi seterusnya.
Paduka Baginda bertitah, lebih separuh kawasan negeri ini masih diliputi hutan dara yang menjadi khazanah berharga bukan sahaja untuk rakyat Pahang tetapi juga negara.
“Sebahagian besar taman negara adalah (terletak) di dalam Negeri Pahang. Untuk maklumat, Negeri Pahang mempunyai lebih kurang dua juta hektar kawasan hutan yang masih lagi macam anak dara, tidak boleh disentuh oleh mana-mana pertubuhan ataupun syarikat.
“Kita akan terus memegang amanah itu untuk memelihara hutan yang kita ada di Negeri Pahang ini,” titah Paduka Baginda ketika berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan pelancaran Majlis Rekreasi Pahang (MRP) di Dataran Orang Kaya Haji, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Paduka Baginda turut mengingatkan tentang kepentingan menjaga sungai-sungai di negeri ini yang merupakan khazanah serta aset agar ia tidak tercemar atau bertoksik.
“Kita juga harus memelihara sungai-sungai kita (kerana) mungkin sungai-sungai ini ada yang bertoksik, kotor dan sebagainya.
“Saya harap bukan hanya sekadar program untuk memanjat bukit tetapi juga membuat program kesedaran di sungai-sungai ini,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda dalam titah turut menzahirkan kebimbangan mengenai pencemaran di kawasan air terjun dan kejadian penyakit kencing tikus yang boleh menjejaskan kebersihan dan keselamatan kawasan rekreasi di negeri ini.
“Kalau boleh kenal pasti air terjun yang boleh dipelihara sebaik mungkin, kita harus memberi tumpuan.
“Kalau pun kerajaan tidak dapat tumpu pada semua, mungkin di sinilah kita boleh menjemput kolaborasi dengan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) ataupun syarikat-syarikat,” titahnya.
Sementara itu Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar bangunan-bangunan lama ,seni budaya Melayu serta serta permainan tradisional yang masih kekal hingga ke hari ini akan sentiasa terpelihara.
“Bangunan lama inilah sudah terbukti boleh bertahan lama. Macam orang lama juga kalau mereka jaga diri mereka, mereka boleh menjangkau lebih pada 80 tahun.
“Saya harap kerajaan akan memikirkan juga tentang seni budaya kita. Saya harap kalau ada acara perkahwinan orang Melayu pakai baju Melayu, jangan berasa malu nak pakai baju Melayu.
“Manakala tentang permainan tradisional, kita hidupkan semula. Ingin saya cadangkan, walaupun kita sudah ada sukan Sukma setiap dua tahun, mungkin kita boleh adakan juga sukan rakyat setiap dua tahun bagi menghidupkan semula tradisi tersebut.
“Saya tidak pasti apa nama-nama sukan rakyat yang ada, mungkin congkak dan sebagainya…tetapi kita boleh adakan pertandingan di setiap daerah, mewakili daerah masing-masing.
“Melalui cara ini, kita dapat menyatukan anak-anak muda dan masyarakat pelbagai kaum untuk beriadah bersama.
“Bukanlah kita ingin menjadi sehebat temasya Olimpik, tetapi sekurang-kurangnya kita dapat menghidupkan semula semangat kebersamaan serta menyatukan kembali keluarga dan masyarakat, sama ada yang jauh mahupun yang dekat,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG