SARAWAK, 1 November 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat ke Seri Gedong Songket di Kampung Kanchong Baru Gedong, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda berdua turut diiringi YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan isteri YHM Tengku Natasya Puteri Binti Tengku Adnan.
Turut mengiringi ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri, Datin Sri Dato’ Burhah Mohammed; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Pahang.
Pusat tenunan songket yang terkenal di daerah Gedong ini ditubuhkan pada 2015 dengan tujuan untuk mengekalkan tradisi tenunan songket sambil membuka ruang dan peluang bagi komuniti setempat menjana pendapatan.
Di situ Paduka Baginda berdua berkenan melihat proses pembuatan kraf, melawat Bengkel Tenun dan Galeri Tenun sebelum berkenan menandatangani buku pelawat.
Paduka Baginda berdua kemudiannya berangkat ke Dewan Datuk Patinggi Ali untuk jamuan Diraja sambil menyaksikan persembahan silat Spring 12 Warisan Wa Bojeng, Tarian Rampaian, Ngajat Iban dan Gendang Pampat, Silat Perguruan Pencak Sari serta Tarian Inang. -KESULTANAN PAHANG







