PEKAN, 23 Oktober 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang berkenan bercemar duli berangkat menziarahi makam Sultan Pahang Pertama (1470-1475), Sultan Muhammad Shah di Makam Pahang Tua, Kampung Langgar di sini hari ini.
Paduka Baginda turut berkenan menziarahi makam-makam di sekitar Pekan iaitu Makam Ziarat Raden, Makam Tembuni, Makam Condong dan Makam Diraja Kampung Marhum.
Menerusi keberangkatan tersebut, Paduka Baginda meninjau keadaan struktur makam-makam yang rosak dan menitahkan ia perlu dipulihara oleh pihak berkaitan agar sentiasa berada dalam keadaan bersih dan selamat untuk dikunjungi.
Turut mengiring ialah Ketua Pegawai Eksekutif MUP, Dato’ Haji Ahmad Hairi Bin Hussain; Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH Tok Muda Dato’ Haji Ahmad Khirrizal bin Haji Ab. Rahman; Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Pahang (Pekan), YH Dato’ Setia Jaya Dato’ Ahmad Farid bin Abd Jalal dan Pengelola Bijaya Diraja KDPB Sultan Pahang, YH Mejar Jeneral Dato’ Mohamed Zahari bin Yahya TUDM (Bersara). -KESULTANAN PAHANG








