KUANTAN, 18 November 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar semua pihak termasuk pentadbiran Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat di negeri ini meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi musim banjir yang dijangka berlaku tidak lama lagi.
Paduka Baginda menegaskan bahawa persediaan rapi perlu dilakukan segera oleh semua agensi dan jabatan berkaitan, khususnya bagi memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk di kawasan berisiko tinggi sentiasa terjamin.

“Semua pihak hendaklah mengambil langkah bersungguh-sungguh dalam membuat persediaan awal kerana musibah banjir memerlukan kerjasama semua.
“Saya juga mahu kebajikan mangsa banjir dipelihara, termasuk aspek penyediaan makanan yang bersih, sihat dan baik kualitinya di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Kebersihan tandas di PPS juga hendaklah sentiasa dijaga dan diselenggara dengan baik bagi mengelak penularan penyakit berjangkit selain memastikan pengguna diberi panduan tentang cara penggunaan kemudahan tersebut,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian selepas persembahan taklimat Monsun Timur Laut 2025/2025 di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), hari ini.
Dalam pada itu, Paduka Baginda bertitah agar maklumat berkaitan air pasang, hujan lebat berterusan serta sebarang situasi yang boleh mengundang risiko banjir hendaklah dihebahkan kepada rakyat.
“Maklumat penting itu perlu dihebahkan dengan segera dan teratur bagi membolehkan rakyat membuat persediaan awal, terutama mereka yang tinggal di kawasan banjir,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda di dalam titah juga menyarankan agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan pembinaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) secara kekal melalui penambahbaikan dewan-dewan sedia ada, ekoran langkah ini akan memberi manfaat jangka panjang serta menjimatkan kos pengurusan pada masa hadapan.
Selain itu, Paduka Baginda turut menyeru semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya memperhebatkan kerja-kerja pembersihan, khususnya di kawasan saluran longkang dan sistem perparitan di bandar-bandar seluruh negeri, bagi memastikan aliran air tidak tersumbat ketika hujan lebat.
Sementara itu, Paduka Baginda turut menitahkan supaya semua masjid dan surau di seluruh negeri Pahang melaksanakan solat hajat tolak bala bagi memohon perlindungan daripada Allah SWT agar negeri ini dijauhkan daripada bencana banjir dan segala musibah.
Paduka Baginda mengingatkan bahawa usaha menghadapi musim banjir ini adalah tanggungjawab bersama dan memerlukan iltizam tinggi daripada setiap pihak agar rakyat yang bakal berdepan musibah sentiasa dibantu dan dilindungi dengan sebaiknya. -KESULTANAN PAHANG








