KUALA LUMPUR, 6 Disember 2025 -Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat membuka sidang pertama Majlis Konvokesyen UIAM ke-41, Kampus Gombak hari ini.
Keberangkatan tiba Paduka Baginda yang juga Ketua Perlembagaan UIAM pada pukul 9 pagi turut diiringi YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama ialah Presiden UIAM, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Rektor UIAM Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar.
Pada pembukaan sidang pertama ini, seramai 442 graduan terdiri daripada graduan peringkat Doktor Falsafah (Phd), Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda dari pelbagai bidang pengajian menerima skrol masing-masing.



Majlis Konvokesyen yang bermula pada hari ini sehingga 10 Disember meraikan 5,561 graduan yang menerima skrol mereka dalam pelbagai peringkat akademik sepanjang lima hari penganjuran majlis.
Sementara itu pada majlis berkenaan, Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan gelaran Profesor Emerita iaitu gelaran sepanjang hayat yang diberikan kepada Profesor yang telah bersara sepenuhnya daripada perkhidmatan namun terus memberikan sumbangan dalam bidang akademik kepada Prof. Dr. Nor Faridah Abdul Manaf.
Dalam majlis yang sama, Paduka Baginda turut berkenan menyampaikan pengiktirafan kepada penerima anugerah tertinggi universiti serta beberapa Anugerah Kecemerlangan Akademik utama antaranya Anugerah Pelajaran Diraja (Royal Education Award), Anugerah Pelajar Keseluruhan Terbaik Universiti, Anugerah Khas Abdullah Ibn Ummi Maktum (Akademik) dan Anugerah Khas Amr Ibn Al-Jamuh (Ko-Kurikulum). -KESULTANAN PAHANG








