KUCHING, 8 Disember 2025 – Orang ramai yang hadir ke Festival Tekstil Antarabangsa Borneo (BiTF) 2025 di Muzium Budaya Borneo berpeluang melihat sendiri pameran istimewa koleksi hasil tangan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan paduka anakanda, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Antara koleksi yang dipamerkan ialah 31 helai kain samping dan tenun daripada Piala Tunku Azizah dan Koleksi batik KDPB Tengku Ampuan Pahang, ‘ A Queen’s Touch: An Exploration and Experimentation of Batik Inderapura’.
Sentuhan seni istimewa YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan, bertemakan “Cityscape of the Future” turut menampilkan hasil tenunan menggunakan tali nilon, folio lakaran, weaving pattern swatches, dan gabungan benang warna.
Selain itu, koleksi Kraftangan Malaysia turut dipamerkan, menonjolkan kain tenun tradisional dari Semenanjung Malaysia dan Sabah, termasuk Songket, Tenun Pahang Diraja, Tenunan Dastar, Tenunan Siambitan, dan Baraguru. -KESULTANAN PAHANG







