MELAKA, 11 Januari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat ke majlis resepsi persandingan pacal didik Datuk Wira Nur Azmi Bin Ahmad dan Datin Wira Noor Adilah Binti Zulkepli di Taman Kampung Atap, Ujong Pasir di sini semalam.
Datuk Wira Nur Azmi merupakan Setiausaha Khas kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka (TYT), Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam.
Keberangkatan Paduka Baginda berdua bagi meraikan dua pasangan pengantin iaitu Ahmad Syahmi Bin Nur Azmi dan isteri Fatin Amirah Binti Mohd Azizi serta Ahmad Syahazam Bin Nur Azmi dan isteri Nurul Balqis Binti Syaharudin.
Paduka baginda berdua turut berkenan merenjis pasangan pengantin dan merakam gambar bersama mereka serta menyantuni tetamu yang hadir.
Mengiringi baginda berdua, Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr.Hj Mohd Ali Bin Mohd Rustam dan isteri YABhg.Toh Puan Datuk Wira (Dr) Hajah Asmah Binti Ab Rahman.
Ketibaan baginda berdua ke Negeri Melaka turut disambut oleh TYT dan isteri serta YB. Datuk Wira Salhah Salleh, Pegawai Kewangan Negeri dan YBhg. Datin Wira Rushalinda binti Muhammad, isteri Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka. – KESULTANAN PAHANG







