SELANGOR, 12 Januari 2026 – Penantian sepasang suami isteri yang menanti kehadiran cahaya mata selama 15 tahun berakhir selepas bayi sulung mereka menerusi rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) tajaan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) selamat dilahirkan pada Jumaat lalu.
Tiada kata yang dapat digambarkan Abdul Aziz bin Abd halim dan Noor Hamira binti Mohd Sani selain bersyukur dan gembira apabila melihat bayi lelaki seberat 2.97 kilogram yang diberi nama Mikhael lahir dengan selamat dan sihat.
Kegembiraan sama turut dikongsi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj yang berkenan bercemar duli berangkat melawat ibu dan bayi di Hospital Selayang, semalam.
Paduka Baginda kelihatan begitu ceria meluangkan masa bertemu Mikhael yang merupakan bayi ke-150 yang dilahirkan sejak Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) ditubuhkan pada tahun 2004.
Untuk rekod, TAFF yang ditubuhkan atas inisiatif KDPB Tengku Ampuan Pahang sejak 21 tahun lalu telah menaja 553 pasangan suami isteri seluruh negara yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan cahayamata.-KESULTANAN PAHANG






