SELANGOR, 19 Januari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan bercemar duli merasmikan Hyrox Circuit di hangar Pasukan Khas Tentera Udara (PASKAU), Rejimen Tentera Udara Diraja Malaysia Jugra, di sini.
Keberangkatan Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, serta Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris, TUDM
Majlis perasmian itu menandakan komitmen berterusan pihak TUDM dalam memperkukuh tahap kecergasan fizikal dan kesiapsiagaan anggota, khususnya PASKAU, selari dengan tuntutan tugas operasi udara dan keselamatan negara.
Hyrox Circuit merupakan satu format latihan berintensiti tinggi yang menggabungkan larian jarak sederhana dan latihan kecergasan fungsional dalam satu litar (circuit) berulang. Latihan ini direka bagi meningkatkan daya tahan kardiovaskular, kekuatan otot serta kecekalan mental anggota.
Lebih istimewa, peralatan Hyrox Circuit di PASKAU Jugra ini merupakan kurniaan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku, sebagai tanda sokongan dan keprihatinan Paduka Baginda terhadap pembangunan kecergasan serta kebajikan anggota TUDM.
Paduka Baginda turut berkenan meluangkan masa meninjau fasiliti latihan tersebut serta beramah mesra dengan anggota PASKAU yang terlibat, selain menzahirkan harapan agar kemudahan berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam melahirkan anggota tentera udara yang lebih cergas, berdisiplin dan berdaya saing. -KESULTANAN PAHANG







