GOMBAK 10 Februari 2026 -Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat memasak bubur lambuk sempena program “Rewang Bubur Lambuk” di perkarangan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.
Seawal jam 9.00 pagi Paduka Baginda berangkat tiba bagi bersama-sama warga UIAM meraikan kedatangan bulan Ramadan minggu hadapan dengan memasak bubur lambuk.
Paduka Baginda yang juga Ketua Perlembagaan UIAM bukan sekadar bersama-sama memasak tetapi turut bermesra mengeratkan lagi jalinan silaturahim dan berkongsi rezeki resepi istimewa dari Istana Pahang itu.
Dari penyediaan bahan masakan, memasak, membungkus dan mengedarkan kepada orang ramai semuanya dilakukan sendiri Paduka Baginda bersama-sama pegawai kanan UIAM, warga UIAM dan pegawai serta cef daripada Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang.
Lebih 3,000 pek bubur lambuk berjaya dihasilkan dengan bahan utama adalah ikan tenggiri bakar, udang, ayam, udang kering dan sayur-sayuran kampung seperti pucuk midin, pucuk kaduk, daun kunyit dan kangkung. – KESULTANAN PAHANG






